Antaramuka asas Microsoft Windows Microsoft Windows

Sebaik sahaja proses but selesai, akan dapat dilihat paparan antaramuka bagi Windows. Sebahagian besar bahagian paparan dikenali sebagai desktop dengan beberapa ikon bagi perisian aplikasi serta beberapa ikon sistem seperti My Computer (dikenali sebagai Computer dalam Windows Vista), Recycle Bin dan sebagainya. Recycle Bin ialah folder sistem khas bagi menyimpan fail-fail yang hendak dibuang daripada cakera keras.

Di sebelah bawah pula terdapat satu jalur nipis yang dikenali sebagai bar tugasan. Bar tugasan yang asas menempatkan menu Start, dulang sistem dan beberapa butang bagi program-program aplikasi yang dibuka (jika ada). Bar ini membolehkan pengguna menukar program yang dibuka dengan pantas dan mudah tanpa mematikan program-program lain. Ciri tersebut menjadikan Windows sebagai sistem pengendalian berbilang tugasan (multi-tasking). Dulang sistem pula menempatkan jam, kawalan suara, ikon peringatan sistem serta beberapa ikon bagi program yang berjalan secara latar belakang seperti perisian antivirus.

Menu Start menempatkan senarai penuh program yang dipasang dalam Windows, pautan ke Panel Kawalan, Bantuan dan perintah untuk log keluar akaun Windows serta perintah menutup Windows. Komputer akan dimatikan secara automatik setelah proses menutup Windows selesai.

Kebanyakan program aplikasi memaparkan antaramuka asas berbentuk segiempat yang dikenali sebagai tetingkap. Sebuah tetingkap mempunyai bar tajuk, bar menu, bar peralatan, ruang program serta bar status. Bar tajuk memaparkan ikon program, tajuk program, serta butang-butang Minimize (mengecilkan dan menyembunyikan program di dalam bar tugasan), Maximize (membesarkan tetingkap sehingga memenuhi ruang desktop)/Restore (mengembalikan tetingkap yang dibesarkan kepada saiz asal) dan Close (menutup program).

Semua arahan dalam Windows boleh dijalankan dengan mudah dengan menggunakan tetikus serta papan kekunci untuk memasukkan teks serta beberapa perintah.